Portal Rasmi
Bahagian Teknologi Pendidikan
Kementerian Pendidikan Malaysia

Sejarah BTP

BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN

Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan sehingga tahun 1988, apabila fungsinya diperluas bagi merangkumi perkhidmatan pusat sumber sekolah dan sesuai dengan kedudukan dan peranannya sebagai satu badan yang menyelaras semua program dan aktiviti yang berkaitan dengan teknologi pendidikan. Bermula dengan hanya empat fungsi utama, iaitu perkhidmatan alat pandang-dengar (tahun 50-an), perkhidmatan siaran radio ke sekolah-sekolah (tahun 60-an), perkhidmatan siaran TV Pendidikan ke sekolah-sekolah (dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Jun 1972) dan perkhidmatan sumber pendidikan. Pada tahun 2002, BTP telah berkembang kepada 11 sektor dan lapan (8) fungsi utama apabila penggunaan teknologi pendidikan berfokus kepada ICT dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan sekolah.

Dengan terlaksananya Projek Rintis Sekolah Bestari pada tahun 1999, iaitu salah satu (1) daripada tujuh (7) aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia, BTP terus meneraju transformasi generasi bestari melalui program Pembestarian Sekolah. Pada 21 April 2006, BTP telah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2000 Quality Management Systems-Requirements. Sistem ini dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh BTP mempunyai standard kualiti yang dikehendaki. Pembangunan kapasiti dan peningkatan kualiti pengurusan instruksional menerusi pembudayaan teknologi pendidikan menjadi misi penting BTP. Peranannya kini bukan sekadar menyelaras tetapi mengalakkan pengintegrasian pelbagai media dan teknologi pendidikan secara terancang bagi mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran selaras dengan moto ‘Teknologi Untuk Pendidikan Bestari’.


BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI

Bermula pada tahun 1982, Pusat Sumber Pendidikan Negeri telah ditubuhkan di empat (4) buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu dengan tujuan untuk membawa perubahan dan pembaharuan dalam pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar. Penubuhan Pusat Sumber Pendidikan Negeri ini adalah berasaskan cadangan UNESCO Identification Mission kepada Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1974. Cadangan tersebut telah diterima oleh Jawatankuasa Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 1976. Cadangan tersebut dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ketiga dan dibiayai daripada pinjaman Bank Dunia. Cadangan penubuhan Pusat Sumber Pendidikan Negeri di 10 buah negeri yang lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan kali ke 100 yang berlangsung pada 25 Januari 1988. Kini semua Pusat Sumber Negeri mempunyai bangunan khas yang dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan.

Seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan yang semakin canggih, pada tahun 2006, Pusat Sumber Pendidikan Negeri di Semenanjung Malaysia dikenali dengan nama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) selaras dengan BTPN Sabah dan Sarawak dan sejajar dengan peranan yang lebih mencabar yang dimainkan oleh BTP. Kini bilangannya telah bertambah kepada 15 buah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan. BTPN berperanan sebagai peneraju pelaksanaan program ICT di sekolah serta memberi khidmat kepakaran teknologi pendidikan, menyedia, mengedar, mempromosi bahan pelbagai media, di samping mengurus dan memberikan khidmat bantu kepakaran Pusat Sumber Sekolah dengan menyelaras pelaksanaan program gerakan tabiat membaca di peringkat negeri.


PUSAT KEGIATAN GURU

Penubuhan Pusat Kegiatan Guru (PKG) bermula dengan tertubuhnya Pusat Sumber Tempatan (PST) di 302 buah sekolah pada tahun 1978. Pada tahun 1981, PST diubah nama kepada Pusat Media Daerah (PMD) iaitu selaras dengan konsep dan rasional pembukaan empat (4) buah Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Pahang. Pada tahun 1986, nama PMD telah diubah kepada Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD). Setiap PSPD memberi khidmat kepada 15 hingga 20 buah sekolah. Fungsi utama PSPD ialah mengatasi dan memperbaiki jurang perbezaan pencapaian pendidikan luar bandar dan bandar dengan menyediakan perkhidmatan pinjaman alatan dan membina bahan pengajaran dan pembelajaran kos rendah. Kementerian Pendidikan berhasrat menjadikan PSPD sebagai agen untuk membiasakan guru-guru khasnya di luar bandar dengan asas teknologi pendidikan.

Pada 26 Julai 1990, PSPD telah dinaik taraf dengan konsep dan peranan yang lebih mencabar. Ia bertukar nama kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG). Dengan menggunakan peruntukan Bank Dunia, sebanyak 200 buah bangunan PKG telah dibina dan 150 buah lagi telah ditempatkan di bangunan sekolah. Nama PKG dianggap sesuai untuk menggantikan nama PSPD bagi mengelak kekeliruan pada istilah 'daerah', memberi gambaran sebenar tentang aktiviti yang dijalankan di pusat tersebut. Pada tahun 1995, PKG telah menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan di atas kejayaan yang telah dicapai. Pada masa kini bilangan PKG telah meningkat kepada 367 buah.


PUSAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN BAHAGIAN

BTPN Sabah dan BTPN Sarawak mempunyai sejarah yang tersendiri dari segi penubuhannya. Struktur organisasi di BTPN Sabah dan Sarawak sedikit berbeza dari BTPN di Semenanjung Malaysia disebabkan oleh perbezaan bentuk muka bumi dan keluasan negeri Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB) hanya terdapat di Sabah dan Sarawak. Seperti BTPN, PTPB adalah juga Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam skala yang lebih kecil. PTPB memainkan peranan yang penting dalam membantu BTPN memberi khidmat kepakaran dalam bidang teknologi pendidikan, menyebar maklumat, pengetahuan serta inovasi terkini terutamanya pelaksanaan inisiatif ICT dalam Pembestarian Sekolah di samping memupuk ikhtiar dan minat guru-guru ke arah mempertingkatkan kualiti profesionalisme.

Kini terdapat tujuh (7) buah PTPB di Sarawak iaitu PTPB Kapit, PTPB Kuching, PTPB Limbang, PTPB Miri, PTPB Sarikei, PTPB Sibu dan PTPB Sri Aman. Manakala di Sabah terdapat enam (6) buah PTPB iaitu PTPB Beaufort, PTPB Keningau, PTPB Kota Kinabalu, PTPB Sandakan, PTPB Tawau dan PTPB Kota Belut.

Tarikh Akhir Dikemaskini : 2017-05-23 16:29:36