Dalam tahun 1971 keputusan telah diambil untuk menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Sebaran Pendidikan. Projek penubuhan TV Pendidikan pula dimasukkan sebagai salah satu projek perkembangan pendidikan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975). Dengan geran Kerajaan Malaysia sebanyak M$6,457,000.00 dan pinjaman daripada International Bank of Reconstruction and Development sebanyak M$940,000.00 perkhidmatan TV Pendidikan telah dimulakan dengan jumlah biaya permulaan sebanyak M$11.3 juta. Pada 19hb Jun 1972, perkhidmatan TV Pendidikan ke sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein.